kartika@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM5.25 bilion bagi sembilan bulan tahun kewangan 2015 iaitu kenaikan 2.9 peratus berbanding RM5.10 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh pelarasan semula tarif bermula 1 Januari 2014 yang mana analisa prestasi TNB dari tahun ke tahun memperlihatkan peningkatan pendapatan sebanyak 1.5 peratus kepada RM31.54 bilion berbanding RM31.07 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd berkata, walaupun dalam situasi yang mencabar ketika ini, pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah TNB komited untuk memaksimumkan nilai pemegang saham dan memberikan pertumbuhan pendapatan jangka panjang yang mapan.
“Kami akan terus merancang secara bertanggungjawab untuk pertumbuhan masa depan perniagaan kami dan keperluan tenaga negara.
“TNB membina asas untuk pertumbuhan ini melalui asas kewangan yang kukuh serta memenuhi piawaian antarabangsa bagi penjanaan, penghantaran dan pembahagian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Sementara itu, keuntungan yang dicatatkan itu juga telah mengambil kira jumlah lebihan pemulihan dan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM1.82 bilion bagi tempoh bermula 1 Januari 2014 sehingga 31 Mei 2015.
Pelaporan jumlah lebihan pemulihan dalam penyata kewangan TNB telah dilaksanakan buat kali pertamanya selepas dibuat kajian mendalam dan perbincangan antara TNB bersama pihak berkaitan.
Manakala, perbelanjaan operasi pula menurun sebanyak 3.0 peratus kepada RM25.73 bilion daripada RM26.52 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. Ini disumbangkan oleh kos penjanaan yang lebih rendah disebabkan oleh pengurangan penggunaan bahan bakar Gas Asli Cecair (LNG) dan harga arang batu yang lebih rendah.
Sementara itu, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie berkata, perlaksanaan ICPT yang berkesan di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) sejak 1 Januari 2014, membolehkan syarikat mencatatkan pendapatan yang stabil dengan meminimakan pendedahannya kepada kos penjanaan dan bahan api yang berubah-ubah.
“Pada masa hadapan, TNB menjangkakan pendapatan yang terus stabil kesan daripada pendedahan yang berkecuali (neutral) terhadap naik turun kos ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 6:42 AM"
http://www.hmetro.com.my/node/67193
No comments:
Post a Comment