Saturday, February 22, 2014

TPP: Keterbukaan Malaysia 'malukan' negara maju



KUALA LUMPUR - Sikap keterbukaan Malaysia berkaitan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), telah memalukan negara demokrasi maju, kata Profesor Undang-Undang Universiti Auckland, Jane Kelsey.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata teks draf TPP akan dikeluarkan bagi membolehkan penelitian terperinci dan debat awam sebelum perjanjian akhir dimeterai.   

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak pernah dilakukan Malaysia, Kelsey berkata, kenyataan Mustapa itu selari dengan surat terbuka ahli Parlimen daripada tujuh negara, termasuk Malaysia dan New Zealand, yang dikeluarkan
minggu lalu.    

"Sebaliknya, Menteri Perdagangan New Zealand, Tim Groser mengenepikan seruan daripada anggota Parlimen, termasuk daripada parti Greens, New Zealand First, Maori dan Mana.

"Selain itu kerajaan telah menghalang parti Buruh daripada mengemukakan usul yang sama di Parlimen," kata Kelsey dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan dari Universiti Auckland.

Kelsey berkata antara kebimbangan Malaysia, termasuk harta intelek, dasar tembakau, penyelesaian pertelingkahan antara negara dan pelabur, perusahaan milik kerajaan serta pemerolehan kerajaan yang memberi keutamaan kepada Bumiputera.

Menurutnya, rundingan peringkat menteri di Singapura yang bermula hari ini, akan berusaha untuk memuktamadkan hampir semua perjanjian itu.

"Fokus kemudiannya akan beralih kepada persoalan penting mengenai akses pasaran pertanian, automobil dan tekstil," katanya.

Kelsey meramalkan beberapa isu lain yang masih wujud akan menjadi bahan tawar menawar dalam penyelesaian akhir dan bukannya batu penghalang kepada perjanjian akhir, melainkan terdapat bantahan domestik yang memaksa kerajaan Malaysia tidak menandatangani perjanjian perdagangan berkenaan.

"Malaysia nampaknya membayangkan perkara itu mungkin berlaku jika mereka tidak dapat melindungi dasar sosial dan pembangunan ekonomi yang penting.

"Malah, mereka sudah pun menarik diri daripada Perjanjian Perdagangan Bebas dengan AS pada 2009. Adakah New Zealand bersedia mendengar pandangan rakyatnya dan melakukan tindakan yang sama?" tanya beliau.         - Bernama


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

LinkWithin