Saturday, January 11, 2014

Bahaya makan daging 'kebal'

Bahaya makan daging 'kebal'

GEORGETOWN - Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa supaya mengharamkan penggunaan antibiotik dalam makanan haiwan bagi mengelakkan rakyat di negara ini memakan makanan yang berisiko tercemar dengan bakteria.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris berkata, selain pengharaman itu, kerajaan juga digesa supaya mewujudkan sistem kebangsaan untuk memantau penggunaan antibiotik dalam makanan haiwan termasuk tindakan untuk memperbaiki dan memperhalusi pengumpulan data ke atas penggunaan antibiotik di negara ini.

“Kementerian yang berkenaan juga digesa supaya memantau kekebalan dan mengesan perubahan dalam kekebalan antibiotik melalui pengawasan yang berterusan di peringkat negara, negeri dan tempatan. Ia bagi mengenalpasti masalah kesihatan supaya tindakan mengubati dapat dilakukan tepat pada masanya untuk melindungi kesihatan manusia dapat diambil.

“Selain itu, kerajaan juga digesa supaya mewujudkan garis panduan bagi ahli veterinar untuk mengurangkan penggunaan berlebihan dan penyalahgunaan antibiotik dalam makanan haiwan.

Kerajaan juga perlu memantau produk daging import bagi pencemaran kuman kebal antibiotik dan penguatkuasaan peraturan yang lebih tegas,” katanya kepada media semalam.

S M Mohamed berkata, beberapa kajian ke atas daging seperti ayam, daging lembu, kambing dan burger beku didapati mengandungi bakteria kebal antibiotik yang amat membimbangkan.

“Menikmati makanan yang tercemar dengan bakteria kebal antibiotik boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa termasuk menyukarkan sesuatu rawatan dilakukan. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada 2012 mendapati, separuh daripada ayam tempatan kebal kepada ampicilin, sulfonamida dan tetrasiklin.

“Sampel makanan seperti daging lembu, kambing dan ayam juga didapati mempunyai salmonela yang kebal kepada antibiotik. Salmonela menyebabkan cirit-birit, demam dan kejang abdomen,” katanya.

Menurutnya, kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati, penggunaan antibiotik pada ternakan umumnya tidak berasaskan prinsip saintifik yang sewajarnya.

“Di Malaysia pada masa ini terdapat 97 antibiotik berdaftar untuk digunakan. Kebanyakan ubatan berdaftar ini digunakan dalam ternakan ayam itik dan babi, sedikit untuk lembu dan kambing.

“Lebih daripada separuh antibiotik (ramuan aktif) berdaftar dengan Kementerian Kesihatan untuk makanan haiwan tidak disarankan untuk kegunaan veterinar oleh WHO.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/bahaya-makan-daging-kebal-1.239513#.UtFVgCtNQKw.google_plusone_share

p/s: Harap Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dapat ambil berat tentang perkara ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

LinkWithin